Jangan biarkan Stres mengawal diri dan emosi kita
Carilah bantuan untuk mengatasi Stres anda....
1. SOLAT - Bagi setiap umat islam solat adalah terapi yang terbaik untuk menghilangkan
stres. Setiap usai solat, hati akan terasa tenang dan minda kita akan dapat
berfikir dengan rasional. Berkhalwat dan berzikir akan menghapuskan
kekusutan pada jiwa kita.Seringlah berdoa agar kita diberi kekuatan hati dalam
menghadapi dugaan dan diberi hidayah agar dapat meleraikan apa jua
masalah yang menimpa diri.Insya'allah ini adalah perkara yang amat penting
untuk dilakukan apabila diri dilanda stres yang amat hebat.
2. REHAT - Anda mungkin tidak mendapat rehat yang cukup. Sejak ditimpa masalah, anda
terus-terusan memikirkan bagaimana mendapat jalan penyelesaiannya.
Percayalah tanpa rehat, anda tidak akan mungkin mendapatkan
penyelesaiannya. Untuk tiga hari yang mendatang, lupakan sementara masalah
yang anda hadapi dan cuba terapi rehat ini. Tidur yang cukup, rihatkan
minda anda, 'switch-off' sebentar segala urusan dan relaks serta santai dengan
melakukan perkara-perkara yang dapat membuat anda lupa pada masalah anda
tadi. Yang terpenting tidur yang cukup dapat menyegarkan diri dan memberi
tenaga baru semula.
3. KOMUNIKASI - Anda perlu belajar berkomunikasi serta berbicara tentang masalah yang
anda hadapi. Usah dipendam masalah hanya pada diri sendiri sebaliknya
cuba berbincang dengan kaum keluarga yang rapat dengan anda. Anda
juga boleh berjumpa pakar kaunselor jika anda berkemampuan dan juga
boleh mencari badan-badan atau kelab masyarakat yang mempunyai grup
berdiskusi tentang masalah yang anda hadapi. Disitu anda akan mendapat
keyakinan lebih serta semangat apabila mendengar cerita-cerita
dari orang yang telah melalui dan mempunyai pengalaman dalam
menyelesaikan masalah yang anda hadapi.
4. HOBI - Mungkin anda terlepas pandang pada yang satu ini. Walaupun ianya selalu anda
dengar namun anda mungkin tidak ketahui bahawa wanita di era globalisasi ini
banyak yang tidak lagi mempunyai hobi kerana tidak punya waktu untuk
melakukannya. Bahkan ada wanita yang tidak pernah terlintas untuk mempunyai
hobi. Hobi yang dapat membantu mengalihkan tumpuan anda dari masalah anda
sekaligus menghilangkan stres anda bukanlah dari jenis hobi yang harus
mengeluarkan wang yang banyak atau yang mencuri masa anda terlalu lama. Hobi
yang simple ringkas tetapi menyenangkan serta menggembirakan anda.
Terkadang ianya boleh memberi keuntungan pada anda. Membaca adalah satu
hobi yang paling mudah serta tidak perlu mengeluarkan banyak tenaga. Bacalah
apa saja dari sebuah buku novel, majalah hiburan, bukupengetahuan seperti
memasak, menjahit atau melancong. Bacalah sesuatu yang dapat memberi
ketenangan dan pada masa yang sama merangsang minda anda untuk baik pulih
cara anda berfikir. Banyak hobi-hobi lain yang boleh anda lakukan seperti
menanam pokok bunga, memelihara haiwan comel atau bersukan. Apa sahaja hobi
yang anda lakukan, ianya pasti akan membuat anda lupa sebentar pada masalah
sekaligus menghilangkan stres pada diri anda.
5. KEWANGAN - Salah satu sumber utama stres sudah tentu bab kewangan anda. Penting
bagi anda untuk mengatur dengan baik cara kewangan anda bergerak
dalam kehidupan anda. Cuba anda bekukan segala wang gaji anda dari
berbelanja buat dua bulan berturut- turut. Maksudnya disini bukanlah
anda tidak gunakan langsung wang itu untuk keperluan harian. Untuk
dua bulan kehadapan usah belanjakan wang anda pada
perkara-perkara atau barang yang anda langsung tidak perlukan. Tidak
ada shopping untuk dua bulan ini dan makan secara sederhana sahaja.
Segala aktiviti kebiasaan anda di hentikan buat dua bulan untuk beri
laluan pada tabungan anda. Hanya dua bulan! Pada bulan ketiga anda
akan melihat hasilnya. Stres anda tentang kewangan tiba-tiba akan
hilang apabila anda melihat wang tabungan anda berganda dan anda
punya wang dan tidak lagi mengalami 'wallet injury'. Perasaan anda
kembali relaks kerana anda tahu anda punya wang simpanan untuk
menyelamatkan anda andai sesuatu terjadi pada anda secara tiba-tiba.
Ianya sesuatu perasaan yang sangat menyenangkan.
6. MUHASABAH DIRI - Akhir sekali, anda tidak dapat melakukan segala sesuatu jika anda
selalu berfikiran negatif. Hanya anda yang dapat membantu diri
anda dan ianya akan bermula dengan diri anda. Selalulah melihat
sesuatu itu secara positif. Berfikiran terbuka dapat merungkai
sesuatu masalah itu lebih cepat dan tepat. Dengan selalu
memuhasabah diri, kita akan berdiri di landasan yang betul.
Belajarlah mengubah pemikiran serta perilaku anda yang
mungkin sebenarnya menjadi punca stres yang anda hidapi.
Perubahan untuk sesuatu yang baik adalah diwajibkan. Semoga
perubahan itu juga dapat membuat kita lebih tabah serta
bijak mengatasi masalah dalam hidup kita.
Semoga kita semua dapat kembali hidup sihat, bahagia serta bebas stres.